Rozaimi menjadi rebutan kelab asing
Infografik
KELIBAT bintang muda dalam arena bola sepak, Rozaimi Abdul Rahman mula menggamit tumpuan selepas mencipta kejutan mengetuai senarai penjaring terbanyak kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar, baru-baru ini.

Selepas kemunculan Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Rozaimi mampu menjadi bintang baru bola sepak negara yang boleh menggegar persada bola sepak tempatan sedikit masa lagi.

Difahamkan, ledakan sembilan gol yang dihasilkan pemain berasal Bongawan, Sabah pada kejohanan itu, beliau kini dilaporkan berjaya menambat hati kelab Thailand, Bec Tero Sesana dan juga beberapa kelab Eropah lain.

Malah, dua kali mencipta hatrik ketika menumpaskan Filipina (7-0) dan Vietnam (3-0) meletakkannya antara penggempur baru yang digeruni saat ini.

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui ada beberapa kelab Eropah cuba melamar Rozaimi.
Namun beliau menegaskan bahawa dirinya tiada kuasa untuk memaklumkan hal ini dengan selanjutnya berikutan pemain itu sekarang dibawah kendalian Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa).

"Saya mengetahui perkara ini, namun lebih elok sekiranya hal ini ditanyakan kepada Rozaimi ataupun pihak Safa sendiri.

"Ini kerana, saya tidak mempunyai kuasa untuk menjelaskan hal ini dengan lebih lanjut," kata Kim Swee sambil menambah, "ia merupakan perkembangan yang positif untuk bola sepak negara dan saya harap Rozaimi akan membuat keputusan yang bijak dalam membuat keputusan."

"Saya tidak mahu persetujuan itu nanti bukan kerana kewangan tetapi memikirkan faktor yang boleh mengembangkan karier serta mendapat pengalaman yang berguna disana," jelas Kim Swee
 Sumber : Sinarharian